Entry: PESANAN DARI ALAM BARZAKH Sunday, May 29, 2005



Diceritakan bahawa ada seorang perempuan ahli ibadah yang sudah mencapai peringkat tinggi.Entah siapa nama sebenarnya, namun orang ramai biasa memanggilnya Puan Bahiyah.Dia sangat istiqamah dan rajin mengerjakan ibadah samada yang sunat apalagi yang wajib. Setiap hari dia sentiasa duduk di tikar sembahyangnya menunggu waktu solat sambil berzikir, membaca Al-Quran ataupun solat sunat.

Apabila merasa ajalnya hampir tiba, dia mengangkat tangannya ke langit dan berdoa,
"Wahai Tuhanku!Wahai Tuhan yang selalu kukenang!Wahai Tuhan tempatku mengadu!Wahai Tuhan tempatku berpegang dikala hidupku dan dikala matiku!Janganlah Enkau hinakan aku di saat-saat kematianku, dan jangan pula Engkau takutkan aku di dalam kuburku!"

Doa itu diucapkannya dengan penuh khusyuk dan sungguh-sungguh. Tidak berapa lama selepas itu dia pun wafat, meninggalkan dunia yang fana ini untuk menjumpai Tuhan tempatnya berpegang.

Anak lelakinya tergolong dari kalangan anak soleh.Dia sentiasa menziarah dan mendoakan ibunya yang telah berada di alam baqa'.Setiap malam dan hari Jumaat anak yang soleh itu pergi ke kubur ibunya dan membacakan ayat-ayat suci al-Quran, kemudiannya berdoa memintakan keampunan dari Allah untuk ibunya dan kaum muslimin yang lain.

Pada suatu malam si anak bermimpi berjumpa dengan ibunya yang telah mati itu.


"Wahai ibu!Bagaimana keadaanmu?"tanya si anak setelah memberikan salam.


"Wahai anakku!Ketahuilah sesungguhnya mati itu merupakan suatu dugaan, kedukaan dan kesengsaraan yang amat dahsyat.Alhamdulillah keadaanku di alam barzakh berada dalam keadaan baik.Dibentangkan permaidani yang sangat wangi untukku.Ia dibuat dari sudus dan istabrak.Hal ini berterusan sehingga hari qiamat."


"Wahai ibuku!Adakah sesuatu pesan untukku?"tanya anak yang bermimpi itu.

Ibunya menjawab bahawa dia mengharapkan agar anaknya tetapmeneruskan amalan yang telah dilakukannya selama ini,yakni berziarah ke kuburnya, membacakan ayat-ayat al-Quran dan berdoa untuknya.Katanya kunjungan anaknya setiap malam dan hari Jumaat ke kuburnya sangat menyenangkannya.
Sebaik saja anaknya datang,akan terdengar suara memanggil:"Wahai Bahiyah! Ini anakmu datang.Berbahagialah engkau dengan kedatangannya itu!"

Katanya pula,bukan saja dirinya yang berbahagia,tapi ahli-ahli kubur lain yang berjiran dengannya juga ikut bergembira dan menerima manfaat.

Mimpi anak soleh itu terhenti sampai di situ kerana dia terjaga dari tidurnya. Selepas bermimpi demikian,dia tetap meneruskan amalannya,yakni menziarah kubur pada malam dan hari Jumaat sambil membaca al-Quran dan berdoa untuk ahli kubur.

Pada suatu malam,dia bermimpi lagi.Dalam mimpinya itu dia melihat sekumpulan manusia ahli kubur dalam jumlah yang ramai datang menghampirinya.


"Siapa kalian ini?Dan apa pula hajatmu datang ke sini?"tanya anak soleh.

"Kami adalah ahli-ahli kubur,datang untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepadamu.Kami minta agar engkau tidak putus-putus membacakan ayat-ayat al-quran dan berdoa untuk para ahli kubur,"jawab mereka.

Sejak itu,anak soleh itu bertambah rajin lagi menziarah kubur setiap malam dan hari Jumaat,dan dia membacakan ayat-ayat al-Quran dan berdoa untuk ahli kubur sekadar yang dia mampu.
Radiallahu anhum.

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments